ad

Belanjawan Selangor 2026: Selangor pendekkan proses permit, lesen penjaja mulai Jun 2026

14 Nov 2025, 8:34 AM
Belanjawan Selangor 2026: Selangor pendekkan proses permit, lesen penjaja mulai Jun 2026

SHAH ALAM, 14 NOV: Reformasi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksanakan di seluruh Selangor bermula Jun tahun hadapan dengan memfokuskan dua perkhidmatan utama, iaitu permit ubah suai kediaman dan lesen penjaja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut akan mempercepat tempoh kelulusan permit serta pemprosesan lesen, sekali gus memudahkan urusan rakyat.

Menurutnya, Selangor komited meneruskan agenda reformasi PBT melalui penyeragaman permohonan permit dan lesen berisiko rendah seperti ubah suai rumah serta permit perniagaan sementara terpilih, yang ketika ini mengambil masa antara 14 hingga 30 hari.

“Bagi permit ubah suai kediaman, tempoh kelulusan akan dipendekkan kepada kurang 24 jam khusus bagi rumah jenis teres yang tidak melibatkan struktur utama bangunan.

“Manakala bagi lesen penjaja, tempoh pemprosesan akan disingkatkan daripada 30 hari kepada 14 hari bekerja bagi memberi kelegaan dan kepastian kepada penjaja kecil serta usahawan mikro yang menjadi nadi ekonomi tempatan.

“Ini membuktikan transformasi pentadbiran bukan sekadar slogan, tetapi tindakan konkrit ke arah kerajaan yang memudahkan, mempercepat dan memajukan kehidupan rakyat Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Amirudin turut memaklumkan bahawa Selangor bakal membangunkan Sistem Padanan dan Semakan Tunggakan Cukai Taksiran Bersepadu Selangor (i-GATE PBT) melibatkan semua PBT di negeri itu.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan kutipan hasil negeri serta memperkukuhkan pematuhan terhadap peraturan PBT oleh individu dan entiti.

“Pembangunan sistem ini mengambil kira sistem sedia ada di setiap PBT, membolehkan integrasi data automatik serta menyokong PBT yang masih menggunakan semakan manual melalui reka bentuk platform digital yang mesra pengguna dan boleh dipertingkatkan keupayaannya.

“Pelaksanaan sistem ini dijangka memberi impak positif terhadap keberkesanan operasi PBT, mempercepat proses kutipan hasil dan menyokong transformasi digital secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menambah, kecekapan pengurusan kewangan dan hasil PBT juga akan ditingkatkan melalui pelaksanaan pematuhan standard Sistem Perakaunan Agensi Kerajaan (SAGA) yang ditetapkan Jabatan Akauntan Negara.

“Menerusi sistem ini, semua pengurusan kewangan dan perakaunan dilaksanakan mengikut prinsip, prosedur dan kawalan seragam serta mematuhi undang-undang kewangan negara.

“Setakat ini, empat PBT Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor telah menerima pengiktirafan pematuhan SAGA. Penyelarasan pelaksanaan kepada lapan lagi PBT akan dilakukan melalui Jawatankuasa Pemantau SAGA Negeri,” jelasnya.