AMPANG JAYA, 20 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengutip RM96.2 juta cukai taksiran setakat 31 Oktober lalu, melepasi anggaran awal sebanyak RM93 juta.
Timbalan Yang Dipertuanya berkata pencapaian itu menunjukkan keberkesanan strategi kutipan PBT termasuk usaha mempromosikan bayaran dalam talian melalui aplikasi iCOMM MPAJ.
"Bagi tempoh Januari hingga Oktober, kutipan mencapai RM96.2 juta atau 103.44 peratus daripada sasaran, manakala kutipan tunggakan setakat ini ialah RM14.1 juta.
"Jabatan Hasil MPAJ meneruskan Kempen Jom Bayar Cukai Taksiran 2025 serta promosi di kawasan tumpuan orang ramai," kata Ts. Hasrolnizam Shaari ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MPAJ hari ini.
Beliau menambah cadangan Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2026 untuk mewujudkan Sistem Padanan atau Semakan Tunggakan Cukai Taksiran Bersepadu Selangor (I-GATE) dijangka dapat menyokong dan meningkatkan keberkesanan pengurusan kutipan cukai di seluruh negeri.
“Di peringkat PBT, bayaran dalam talian sudah tersedia untuk memudahkan orang ramai. Sejak penubuhan MPAJ, tunggakan cukai berjumlah kira-kira RM80 juta, namun setiap tahun kita merangka sasaran kutipan.
”Tahun ini dan tahun hadapan, kita sasarkan sekitar RM20 juta, iaitu satu perempat daripada jumlah tunggakan,” katanya.
Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berkata pembangunan i-GATE melibatkan semua PBT bagi meningkatkan kecekapan kutipan hasil dan memperkukuh pematuhan peraturan PBT.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sistem itu mengambil kira sistem sedia ada di setiap PBT, membolehkan integrasi data secara automatik dan menyokong PBT yang masih menggunakan semakan manual melalui platform digital mesra pengguna dengan fungsi boleh dipertingkatkan.
“Pelaksanaan i-GATE dijangka memberi impak positif terhadap keberkesanan operasi PBT, mempercepat proses kutipan hasil, serta menyokong transformasi digital PBT secara menyeluruh,” kata beliau.


