SHAH ALAM, 15 NOV: Usaha Selangor membangunkan Sistem Padanan atau Semakan Tunggakan Cukai Taksiran Bersepadu Selangor (I-GATE) dijangka menjadi penyelesaian tuntas kepada isu lama melibatkan urusan cukai taksiran di pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata sistem yang diumum dalam Belanjawan Selangor 2026 itu mampu mengurangkan sikap culas pembayar cukai selain meningkatkan kecekapan hasil PBT.
“Dengan I-GATE, semua pemilik pegangan boleh menyemak bil dengan mudah dan membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.
“Inisiatif ini akan menghapuskan alasan pembayar cukai yang tidak menerima bil atau tidak mengetahui jumlah bayaran,” katanya.
Sistem bersepadu berkenaan membolehkan pemilik pegangan menyemak bil, mendapatkan jumlah tunggakan tepat serta membuat pembayaran melalui pelbagai saluran digital tanpa perlu hadir ke pejabat majlis.
Akses maklumat yang lebih telus juga dijangka mengurangkan ralat rekod dan mempercepat proses semakan.
Mengulas mengenai reformasi digital PBT yang dijadual bermula Jun tahun depan, Abdul Hamid berkata kemudahan itu diperluas kepada orang ramai, termasuk permohonan kebenaran merancang dan kelulusan ubah suai bangunan sepenuhnya secara dalam talian.
“Orang ramai tidak perlu hadir berulang kali ke pejabat majlis kerana semua permohonan boleh dibuat dan dipantau secara atas talian. Pegawai PBT dapat mengeluarkan keputusan dengan cepat dan telus berdasarkan maklumat yang diterima,” jelasnya.
Beliau berkata pendigitalan menyeluruh itu turut menutup ruang manipulasi yang sebelum ini wujud dalam proses manual.
“Sistem ini memastikan urusan menjadi lebih efisien, telus dan profesional tanpa keperluan berjumpa secara fizikal yang boleh membuka ruang kepada amalan tidak sihat.
“Melalui reformasi ini, semua maklumat tersedia dalam talian dan boleh diakses bila-bila masa, memastikan keputusan dibuat segera dan tepat,” katanya.




