SHAH ALAM, 20 NOV: Permohonan Insentif Haji Muassasah yang nilainya ditingkat daripada RM1,000 kepada RM1,500 setiap jemaah dalam Belanjawan 2026 dijangka dibuka akhir Januari tahun depan.
Menurut Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor, bantuan itu memanfaatkan 6,000 jemaah melalui peruntukan keseluruhan RM9 juta.
Beliau berkata kaedah permohonan masih diperhalusi sama ada melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau mengguna pakai data jemaah daripada Tabung Haji Selangor.
“Mereka akan bekalkan data kepada kami dan kita masukkan terus ke akaun. Tapi itu masih dalam perbincangan. Kaedah itu belum lagi dimuktamad,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam belanjawan negeri, program yang dimulakan pada 2022 dan memberi manfaat kepada 18,000 jemaah setakat ini, diteruskan pada tahun depan melalui peningkatan nilai sumbangan.
Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM6 juta dan Yayasan MBI RM3 juta.




