SHAH ALAM, 20 NOV: Kira-kira 150,000 pelajar tingkatan empat dan lima bakal menerima manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) secara percuma melalui peruntukan RM10 juta tahun depan.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berkata lapan mata pelajaran dalam PTRS melengkapi keperluan sekitar 300 sekolah menengah dan sekolah bawah Jabatan Agama Islam Selangor.
Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, penyediaan modul baharu mata pelajaran fizik dan kimia dimulakan akhir bulan ini melalui siri bengkel anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
“Jadi, keseluruhan modul yang kita ada untuk tahun depan ada lapan iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah, matematik tambahan, fizik dan kimia.

“Ada tiga fasa bengkel iaitu libat urus guru, pemurnian draf dan semakan akhir sebelum cetak. Sasaran kita, modul dibekal ke sekolah selewat-lewatnya Mac atau April," katanya.
Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM3 juta manakala Yayasan MBI RM3 juta untuk menjayakan program percuma itu.
Dalam Belanjawan Selangor 2026, dua mata pelajaran baharu itu diperkenal bagi meningkatkan penguasaan dalam bidang sains dan menyokong perkembangan kurikulum yang lebih menyeluruh.
Pelantar ePTRS yang menyediakan platform pembelajaran digital seperti e-book, video pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan video pecutan akhir juga akan ditambah baik.
Tangani isu 3M
Selain itu, program intervensi literasi dan numerasi untuk murid yang masih belum menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) diadakan meliputi lebih 600 sekolah tahun depan.
Menurut Ahmad Azri, inisiatif tersebut yang dijalankan bawah Program Didik Kasih (PDK), salah satu cabang PTRS tertumpu kepada murid tahun dua dan ke atas dari kelas pemulihan.

“Kementerian Pendidikan ada program intervensi kurikulum yang dibuat untuk darjah satu. Jadi, pihak kami menumpukan kepada peringkat darjah dua hingga darjah enam," katanya.
Beliau memberitahu pihaknya menungga data terkini Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ekoran ada penurunan bilangan murid tahun ini susulan intervensi yang dijalankan sejak tahun lalu.
Katanya lagi, Yayasan MBI juga giat menyediakan modul literasi untuk murid tahun satu untuk bersama-sama Kemenerian Pendidikan menbantu keperluan kelompok tersebut.
Dalam Belanjawan Selangor 2026, program intervensi literasi dan numerasi diteruskan kepada murid yang belum menguasai kemahiran sedemikian melalui peruntukan RM1 juta.
Program tersebut memberi manfaat kepada 25,000 murid setakat ini membabitkan 661 sekolah bawah Kementerian Pendidikan di seluruh Selangor.




