SHAH ALAM, 5 APR: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerima sebanyak 621 permohonan haji muassasah sejak insentif itu dibuka pada hujung Februari lalu.
Ketuanya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata permohonan berkenaan diterima melalui 15 pejabat wakil rakyat termasuk penyelaras.
“Kita mula menerima borang permohonan Rabu lalu dan setakat ini hanya 15 pejabat wakil rakyat termasuk penyelaras telah menghantarnya.
“Setiap permohonan akan diteliti dan dipastikan mengikut kriteria ditetapkan. Proses ini dijangka mengambil masa seminggu sebelum pembayaran dibuat,” katanya kepada Media Selangor.
Pada masa sama, beliau memaklumkan jemaah yang tidak sempat menghantar borang permohonan boleh melakukannya selepas pulang ke tanah air.
“Permohonan dibuka sehingga hujung Julai dan sekiranya jemaah tidak sempat menghantarnya sebelum berlepas, masih sempat berbuat demikian sejurus tiba di tanah air.
“Ini kali pertama insentif dinaikkan kepada RM1,500 dan kita harap mereka tidak lepaskan peluang serta dapat bantu jemaah,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 6,000 bakal jemaah haji muassasah di Selangor menerima insentif RM1,500 seorang menerusi pelaksanaan program Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, dengan peruntukan RM9 juta, jumlah insentif meningkat sebanyak RM500 iaitu dari RM1,000 kepada RM1,500 bagi setiap jemaah haji muassasah.
Untuk rekod, sejak mula dilaksanakan pada 2022, insentif tersebut memanfaatkan seramai 18,000 jemaah haji muassasah dari Selangor, iaitu 3,000 jemaah masing-masing pada 2022 dan 2023 dan 6,000 jemaah masing-masing pada 2024 dan 2025.







