KAJANG, 20 NOV: Sebanyak tujuh premis disita Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam operasi penguatkuasaan terhadap pemilik yang gagal menjelaskan cukai taksiran, semalam.
Tindakan bersepadu dilaksanakan Bahagian Hasil dan Jabatan Penguatkuasaan MPKj itu dijalankan sekitar Kajang Utama dan Jalan Reko.
MPKj dalam kenyataan memaklumkan operasi tersebut bertujuan mengutip tunggakan cukai taksiran daripada pemilik premis yang gagal melunaskan bayaran.
“MPKj memohon kepada semua pemegang hartanah di kawasan MPKj untuk menyelesaikan bayaran cukai taksiran bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, bayaran cukai taksiran boleh dibuat menerusi pelbagai saluran dalam talian atau di kaunter rasmi bagi memudahkan urusan.





