PETALING JAYA, 27 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menyalurkan peningkatan hasil cukai taksiran kepada penduduk menerusi penambahbaikan kemudahan awam dan keperluan komuniti menjelang 2027.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohd Yazid Sairi berkata peningkatan hasil susulan semakan cukai taksiran yang diluluskan Kerajaan Negeri itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan penduduk.
"MPBJ sedang giat memperincikan keutamaan serta menangani sebarang kekurangan yang akan dikenalpasti bagi memastikan peruntukan memenuhi keperluan komuniti.
"Kita jangkakan hasil yang lebih tinggi susulan kelulusan Kerajaan Negeri yang menaikkan cukai taksiran, dan daripada hasil ini dapat membantu kenalpasti keutamaan penduduk disamping menambah baik segala kemudahan awam dan keperluan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Azli Jamaasim dilantik sebagai Ahli Majlis MBPJ bagi mengisi kekosongan Zon 24 untuk tempoh 15 Ogos 2026 hingga 31 Disember 2027.
Mohamad Azli berkata beliau akan menjadi penghubung antara komuniti dan MBPJ bagi memastikan isu setempat dapat disampaikan dan ditangani.
"Suara komuniti akan kita bawa ke pihak Majlis bagi menyelesaikan segala perkara berbangkit.
"Saya harap pihak Majlis dapat bekerjasama bersama-sama dalam menyelesaikan isu yang dialami komuniti, selain merapatkan lagi hubungan antara Majlis dan komuniti di kawasan setempat," katanya.







