SHAH ALAM, 28 JULAI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merekodkan kutipan RM70.38 juta hasil cukai taksiran setakat 30 Jun lalu, iaitu 96.72 peratus daripada sasaran RM72.76 juta yang ditetapkan bagi separuh pertama tahun ini.
Yang Dipertuanya, Shahman Jalaludin berkata dalam tempoh sama, MPS turut berjaya mengutip RM6.95 juta tunggakan cukai taksiran daripada keseluruhan tunggakan berjumlah RM11.5 juta.
Menurutnya, sebanyak 78.09 peratus daripada keseluruhan kutipan cukai taksiran diterima menerusi saluran digital, dengan RM35.56 juta daripadanya dibuat melalui pembayaran dalam talian menggunakan portal MyMPS.
"Mulai tahun ini, MPS turut memperkenalkan penghantaran bil cukai taksiran menerusi WhatsApp sebagai usaha memperluas perkhidmatan digital. Sehingga Jun, sebanyak 97,463 akaun telah menerima bil cukai taksiran secara elektronik.
"Pemilik hartanah yang masih belum mengemaskini maklumat perhubungan diminta berbuat demikian bagi membolehkan penghantaran bil cukai taksiran secara digital dapat dilaksanakan dengan lebih lancar," katanya seperti dilaporkan The Star.
Dalam pada itu, Shahman berkata MPS turut mengeluarkan 36,701 waran sitaan sehingga 30 Jun lalu terhadap pemilik hartanah yang mempunyai tunggakan cukai taksiran melebihi RM200.
Orang ramai boleh mengemaskini maklumat perhubungan menerusi portal digitalbil.mps.gov.my bagi memudahkan urusan penerimaan bil cukai taksiran secara digital.







