ad

Selangor perketat keselamatan sekolah selepas insiden pelajar maut ditikam

19 Nov 2025, 1:34 PM
Selangor perketat keselamatan sekolah selepas insiden pelajar maut ditikam
Selangor perketat keselamatan sekolah selepas insiden pelajar maut ditikam
Selangor perketat keselamatan sekolah selepas insiden pelajar maut ditikam
Selangor perketat keselamatan sekolah selepas insiden pelajar maut ditikam

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri memperketat langkah keselamatan di sekolah susulan insiden tragis pelajar perempuan maut ditikam 14 Oktober lalu.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan beliau menghadiri Sesi Libat Urus Pengukuhan Keselamatan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama hari ini bagi memastikan langkah keselamatan dipertingkatkan dan insiden seperti itu tidak berulang.

"Insiden itu menjadi satu peringatan yang amat penting. Sebagai EXCO Pendidikan, saya amat prihatin terhadap keadaan serta kesejahteraan emosi dan mental pelajar di sekolah ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perbincangan itu turut melibatkan wakil Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta warga pendidik bagi memastikan setiap proses berjalan lancar dan mengukuhkan sistem keselamatan sekolah.

Turut hadir EXCO Kesihatan Awam merangkap Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut menyalurkan RM17,000 kepada SMK Bandar Utama Damansara 4 bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan sekolah.

Pada Oktober lalu, Amirudin memaklumkan akan mempercepat pelaksanaan beberapa langkah keselamatan di sekolah termasuk pendaftaran pelajar, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah.

"Insiden sebegini tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita," kata beliau.