PETALING JAYA, 29 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang mengemukakan bantahan terhadap cadangan pembangunan pusat data di Damansara selepas tempoh bantahan awam berakhir.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon berkata semua bantahan dan cadangan yang diterima sepanjang tempoh konsultasi awam akan dikumpulkan dan dipertimbangkan dalam proses kelulusan projek berkenaan.
"Projek ini masih belum diluluskan. Ketika ini, kita berada dalam fasa memaklumkan kepada penduduk dan memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan bantahan.
"Dalam tempoh ini, penduduk atau mana-mana pihak boleh mengemukakan bantahan atau cadangan. Semua maklum balas itu akan dikumpulkan dan diambil kira dalam proses kelulusan," katanya kepada Media Selangor selepas Mesyuarat Penuh MBPJ hari ini.
Beliau berkata penduduk disaran mengemukakan bantahan secara rasmi kepada MBPJ melalui saluran yang ditetapkan supaya ia direkodkan dan dipertimbangkan.
Awal bulan ini, pemasangan papan notis mengenai cadangan pembinaan pusat data di kawasan perumahan di Damansara mencetuskan kebimbangan penduduk yang membangkitkan isu keselamatan, kesan terhadap alam sekitar dan kualiti hidup.
Susulan itu, MBPJ membuka tempoh konsultasi awam bagi mendapatkan maklum balas orang ramai dari 21 hingga 27 Julai sebelum sebarang keputusan dibuat.
Mengulas lanjut, Mohamad Zahri berkata peringkat seterusnya selepas tempoh bantahan ialah mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang membantah.
"Selepas bantahan diterima, kita akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang terlibat. Mungkin ada perkara yang mereka kurang jelas, jadi kita akan memberi penjelasan lanjut mengenai cadangan projek ini," katanya.
Beliau berkata MBPJ tidak menetapkan jumlah minimum bantahan sebelum sesuatu tindakan diambil atau sesi libat urus diadakan.
"Semua bantahan akan dipertimbangkan tanpa mengira jumlahnya.
"Tiada jumlah tertentu. Walaupun hanya satu atau dua bantahan diterima, kita tetap akan menelitinya dan mengadakan sesi libat urus untuk memberi penjelasan serta menjawab kebimbangan yang dibangkitkan," katanya.







