SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera memperkukuh aspek keselamatan di SMK Bandar Utama Damansara (4) susulan insiden tragis seorang pelajar perempuan maut ditikam baru-baru ini.
Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pagi tadi bersetuju melaksanakan beberapa langkah segera bagi mengembalikan keyakinan terhadap tahap keselamatan di sekolah serta menyokong kesejahteraan mental pelajar terjejas.
"Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru dan pelajar bagi memperingati pelajar yang kehilangan nyawa.
"Langkah pantas turut diambil seperti pendaftaran pelajar di sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, usaha berkenaan turut melibatkan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
"Insiden sebegini tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita," katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan susulan Pejabat Menteri Besar menjelaskan pelaksanaan langkah keselamatan itu mungkin akan diperluas ke sekolah-sekolah lain di Selangor sekiranya ia terbukti berkesan.
“Tumpuan segera Kerajaan Negeri adalah di SMK Bandar Utama Damansara (4) berikutan permintaan diterima daripada ibu bapa. Itulah keutamaan buat masa ini.
“Kami juga mengambil maklum bahawa sekolah-sekolah kerajaan berada bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, dan mereka mungkin mempunyai perancangan sendiri untuk menangani isu ini di peringkat nasional," katanya.
Kehadiran pelajar ke sekolah itu dilaporkan menurun sejak dua tiga hari lalu, berikutan tragedi berkenaan yang turut meninggalkan kesan trauma kepada pelajar lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa lalu, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilaporkan menikam seorang pelajar perempuan tingkatan empat di tandas sekolah berkenaan.
Suspek kini direman tujuh hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Upacara penghormatan terakhir diadakan di Nirvana Center Kuala Lumpur, Jalan Dewan Bahasa, Bukit Seputeh mulai hari ini hingga Isnin, manakala upacara sembahyang terakhir dijadual pada pagi Isnin sebelum mendiang disemadikan di Nirvana Crematorium, Shah Alam.




