ad

Warga emas maut digilis lori sampah

19 Nov 2025, 12:24 PM
Warga emas maut digilis lori sampah

SHAH ALAM, 19 NOV: Seorang penunggang motosikal berumur 79 tahun maut digilis lori sampah dalam kemalangan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menghala ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian dilaporkan kira kira jam 11.13 pagi.

"Lori yang datang dari arah Jalan Ipoh sedang membelok ke kiri menuju ke arah Jalan PPR Kampung Batu.

"Pada masa yang sama motosikal yang datang dari arah Jalan Kampung Batu sedang membelok ke kanan menyebabkan perlanggaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dan digilis tayar belakang lori.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita mohon saksi yang melihat kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan polis," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, maklumat berhubung nahas itu boleh disalurkan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03 20719999 atau mana mana balai polis berhampiran.