ALOR SETAR, 12 OKT: Dakwaan mencuri motosikal dipercayai menjadi motif seorang remaja lelaki dikurung selama dua hari dan diseksa hingga maut sebelum mayatnya ditemukan di tepi Jalan Harvard, Gurun, Khamis lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat remaja berusia 18 tahun itu pada 8.05 pagi dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat hentakan objek tumpul di kepala.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek utama berusia 24 tahun selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan yang mendakwa mangsa mencuri motosikal.
“Mangsa ditangkap di Pendang pada 5 Okt sebelum dibawa ke rumah salah seorang suspek dan dikurung selama dua hari. Dalam tempoh itu, mangsa diseksa, dipukul dan rambutnya turut digunting,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa ditemukan meninggal dunia di rumah berkenaan pada malam 7 Okt sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan pada keesokan harinya.
Adzli berkata beberapa jam selepas penemuan mayat itu, polis melancarkan operasi bermula 12 tengah hari hingga 8.30 malam dan menahan 14 lelaki berusia antara 16 hingga 24 tahun di sekitar Gurun dan Guar Chempedak.
“Polis merampas 14 telefon bimbit, sebuah kereta Honda City, gunting dan kad pengenalan mangsa. Seramai 12 suspek direman selama enam hari hingga Rabu ini, manakala dua suspek bawah umur direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada 8 Okt lepas, mayat seorang lelaki berpakaian sukan berwarna kuning dan hitam ditemukan terbaring di tepi jalan dengan kesan kecederaan pada kepala dan muka serta tanpa dokumen pengenalan diri.
Mangsa kemudiannya dikenal pasti sebagai Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18.
Dalam perkembangan lain, Adzli berkata polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh dan menghalang anggota polis menjalankan tugas ketika Op Pintas bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran di Plaza Tol Hutan Kampung di sini pada 7 Okt lepas.
“Semasa operasi, pasukan polis menahan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang disyaki membawa lima migran. Namun, pemandunya bertindak agresif dan cuba melanggar seorang anggota polis sebelum merempuh palang tol.
“Polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan itu, namun suspek melarikan diri sebelum meninggalkan SUV berkenaan di Pendang, kira-kira 28.3 kilometer dari lokasi kejadian.
“Beberapa individu telah ditahan dan polis sedang mengesan dua lagi lelaki, iaitu Muhammad Raffi Yusrino, 28, dan Zulfikrie Naaim Morhinino, 36,” katanya.







