SHAH ALAM, 19 NOV: Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) negeri diperkasa menerusi Program Inklusif Inovasi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) 2026 (MTOS-SIP 2026).
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata program pemadanan idea itu memberi ruang kepada universiti, NGO, konsultan, badan penyelidikan dan perusahaan sosial mengemukakan cadangan inovatif bagi mengukuhkan ekosistem OKU negeri.
“Kita mahu memastikan setiap dasar dan program OKU di Selangor benar-benar inklusif, progresif serta mampu memberi akses dan maruah yang sewajarnya kepada semua warga OKU,” katanya pada sidang media di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurutnya, tiga bidang utama dibuka untuk penyertaan, selaras dengan struktur Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) iaitu aspek pekerjaan dan ekonomi OKU, pembangunan Universal Design dalam persekitaran fizikal serta digital dan penarafan akses melalui Sistem Indeks Akses OKU Selangor.
Setiap jawatankuasa MTOS akan memilih satu badan pemacu untuk melaksanakan projek inovatif bermula Januari 2026, dengan nilai geran sehingga RM30,000.
Organisasi yang berminat boleh menghantar kertas kerja konsep beserta profil ringkas ke mtoselangor@gmail.com sebelum 10 Januari 2026.




