SHAH ALAM, 20 NOV: Pembangunan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor di Puchong dan Cyberjaya dijangka melonjak potensi pelaburan Selangor sehingga RM3 bilion, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.
Menurutnya, taman reka bentuk di Puchong yang dilancar Ogos tahun lalu menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila menarik penyertaan 14 syarikat global dan tempatan dalam tempoh kurang setahun.

“Pelaburan ini menjana 205 pekerjaan berpendapatan tinggi terutama dalam bidang jurutera reka bentuk litar. Kita sasarkan jumlah itu meningkat kepada 400 jurutera menjelang penghujung 2026.
“Selangor turut mengembangkan rantaian industri dengan membangunkan taman kedua di Cyberjaya, yang kini beroperasi sebagai fasiliti ujian cip bertaraf dunia pertama di Asia Tenggara.
“Kita mahu mewujudkan satu rantaian lengkap daripada reka bentuk hingga ujian cip bagi menjadikan negeri ini hab semikonduktor serantau,” katanya ketika menjawab perbahasan pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Taman reka bentuk semikonduktor Malaysia di Puchong menyediakan ekosistem menyeluruh yang menghimpunkan pemain industri, pusat penyelidikan dan rakan kongsi rantaian bekalan.
Kedudukan strategik di Lembah Klang Raya turut mengukuhkan Selangor sebagai destinasi utama syarikat teknologi tinggi.
Sementara itu, Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri mempergiat pembangunan sektor aeroangkasa di Taman Aero Selangor (SAP) melalui kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi struktur Incorporated Joint Venture.
“Model kerjasama ini memastikan pembangunan SAP berjalan teratur dengan tadbir urus diyakini pelabur, seiring perancangan KLIA Aeropolis,” katanya.
SAP yang meliputi kawasan 600 ekar dalam KLIA Aeropolis berpotensi mencapai nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.3 bilion serta menyumbang kepada sasaran pendapatan tahunan sektor aeroangkasa negara sebanyak RM55.2 bilion.




