SIDEC umum penubuhan Fitipower, lonjak ekosistem IC Selangor

18 Mac 2026, 9:54 AM
SIDEC umum penubuhan Fitipower, lonjak ekosistem IC Selangor
SIDEC umum penubuhan Fitipower, lonjak ekosistem IC Selangor

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) mengumumkan penubuhan Fitipower Malaysia Sdn Bhd sekali gus menandakan pencapaian baharu dalam usaha untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor di negeri itu.

SIDEC memaklumkan entiti baharu itu adalah anak syarikat tempatan kepada syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) beribu pejabat di Taiwan, Fitipower Integrated Technology Inc, yang telah memulakan operasi di Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia di Puchong.

Menurutnya kemudahan yang diterajui oleh SIDEC itu adalah antara strategi menyeluruh Selangor untuk meletakkan negeri itu sebagai hab serantau bagi reka bentuk IC dan inovasi semikonduktor.

“Penubuhan Fitipower Malaysia memperteguh momentum pertumbuhan Taman Reka Bentuk IC yang berfungsi sebagai platform strategik untuk menarik syarikat reka bentuk IC global, memupuk bakat tempatan serta mempercepat peralihan Malaysia ke arah aktiviti semikonduktor bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

SIDEC berkata, Fitipower Malaysia akan memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan reka bentuk IC semikonduktor, terutama dalam teknologi IC pemacu paparan, IC pengurusan tenaga dan sistem dalam cip kecerdasan buatan.

“Dengan memanfaatkan sumber teknologi serantau, syarikat itu menyasarkan untuk mempercepat inovasi produk serta memperluas operasi dalam pasaran global di samping mewujudkan nilai jangka panjang kepada pelanggan dan pemegang saham,” katanya.

Pengerusi Fitipower Integrated Technology Young Lin berkata, kumpulan bakat kejuruteraan Malaysia yang mantap, ekosistem semikonduktor yang semakin berkembang serta inisiatif kerajaan yang menyokong, menjadikan negara ini sebagai lokasi strategik untuk pengembangan R&D luar negara syarikat itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.