SHAH ALAM, 19 NOV: Sebahagian laluan di Jalan Teknologi 3/9, Kota Damansara akan ditutup mulai esok bagi memberi laluan kepada persiapan dan penganjuran program Ekonomi Lestari yang bakal dihadiri Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan penutupan jalan tersebut bermula jam 6 petang esok sehingga 12 tengah malam Isnin (23 November) bagi memastikan kelancaran kerja-kerja persiapan dan perjalanan program.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merujuk panduan visual yang disediakan, mematuhi arahan petugas lalu lintas serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan,” menurut kenyataan MBPJ di Facebook.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dijadual berkenan mencemar duli ke program Ekonomi Lestari @ Car Boot Sale (CBS) Kota Damansara pada Ahad ini dan meluangkan masa bersama rakyat dalam pelbagai pengisian menarik.
Program tersebut bertujuan mempromosikan konsep ekonomi lestari melalui penjualan semula barangan terpakai yang masih dalam keadaan baik.
Ia sekali gus menjadi platform menjimatkan kepada pembeli, selain menarik minat pengumpul barangan vintaj dan antik.




