ad

Wanita maut dilanggar lori ketika tukar tayar kereta pancit

19 Nov 2025, 8:28 AM
Wanita maut dilanggar lori ketika tukar tayar kereta pancit

SHAH ALAM, 19 NOV: Seorang wanita maut selepas dilanggar lori ketika sedang menukar tayar kereta di Kilometer 260.6, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah Selatan, dekat Seramban pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat penapis air dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang.

Rakan sekerjanya, Nur Affiqah Jamran, 30 berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan serumah mangsa sebelum bergegas ke lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

"Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, namun dia tidak muncul di pejabat membuatkan kami pelik sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.

"Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia, mayatnya ditutup dengan kain putih," katanya ditemui di lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dan sebuah motolori kontena jenis Volvo.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Proton X50, iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan, tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya dikatakan memberhentikan motokar di lorong kecemasan.

"Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu," katanya.

Jelas beliau, akibat kemalangan ini, pemandu SUV yang mengalami kecederaan parah di anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.