SHAH ALAM, 19 NOV: Pengawal keselamatan warga Nepal yang ditahan kerana disyaki meliwat seekor kucing di Kota Kemuning direman selama 14 hari lagi bagi membantu siasatan lanjut, termasuk kesalahan imigresen.
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata lanjutan reman diberikan selepas pihak berkuasa mendapati suspek berusia 33 tahun itu tidak memiliki permit kerja walaupun pasportnya masih sah.
“Hasil siasatan turut mendapati suspek yang masih bujang itu bekerja di pangsapuri terbabit selama dua bulan.
"Dia tinggal di negara ini sejak enam tahun lalu, permit kerja tiada namun pasportnya masih sah,” katanya seperti dilapor BH.
Perbuatan tidak senonoh itu tular Ahad lalu selepas lelaki tersebut disyaki meliwat seekor kucing sebelum mencampakkannya dari tingkat empat sebuah pangsapuri pada Jumaat.
Polis menerima laporan daripada seorang penghuni yang melihat kejadian itu sejurus tiba di kediaman bersama suaminya kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Menurut laporan, pasangan itu menyedari tingkah laku mencurigakan seorang lelaki yang dilihat dalam keadaan bogel dari dalam kereta mereka sebelum mendapati dia sedang meliwat seekor kucing.
Suami pengadu kemudian naik ke tingkat empat untuk menegur tindakan tersebut, namun suspek bertindak mencampak haiwan itu sebelum melarikan diri.
Kejadian itu turut dirakam menggunakan telefon bimbit pengadu.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis menahan suspek pada jam 4.45 pagi hari yang sama dan memperoleh perintah reman bermula 15 November sehingga hari ini sebelum ia disambung.
Siasatan awal juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang masalah mental tetapi berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana persetubuhan luar tabii dengan haiwan dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.




