SHAH ALAM, 5 APR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membunuh pengawal keselamatan menggunakan besi pengunci kereta dalam kejadian di Bandar Bukit Raja, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi di pondok keselamatan sebuah taman perumahan susulan perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
Mangsa, lelaki tempatan berusia 40 tahun, mengalami kecederaan akibat serangan fizikal sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.18 pagi.
“Siasatan awal mendapati suspek menyerang mangsa menggunakan objek tumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan dan menahan suspek serta merampas sebatang besi pengunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Semakan lanjut mendapati suspek berusia lingkungan 40-an itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.








