SHAH ALAM, 10 DIS: Lelaki warga Nepal yang sebelum ini disiasat atas kesalahan meliwat seekor kucing dijatuhi hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mendera haiwan berkenaan.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak turut memerintahkan tertuduh, Arman Shah, 33, dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bekas pengawal keselamatan yang masih bujang itu didakwa melakukan penderaan secara kejam terhadap seekor kucing di tingkat empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada jam 12.30 tengah malam, 15 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.
Berdasarkan fakta kes, seorang wanita yang baru tiba di kawasan parkir pangsapuri melihat tertuduh memegang seekor kucing sebelum membuka seluar dan melakukan perbuatan terkutuk itu. Pengadu kemudian meminta suaminya menegur tertuduh yang ketika itu dalam keadaan bogel.
Selepas ditegur, tertuduh memakai semula seluar dan mencampak haiwan itu sebelum masuk ke rumah sewanya. Insiden berkenaan sempat dirakam pengadu berdurasi 48 saat.
Tertuduh kini juga sedang menjalani hukuman penjara empat bulan atas kesalahan berpakaian separuh bogel dan memasuki negara tanpa dokumen sah.


