SHAH ALAM, 4 DIS: Seorang pengawal keselamatan yang disyaki mengugut seorang lelaki menggunakan objek menyerupai sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat Perodua Sungai Choh, Hulu Selangor, ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata mangsa membuat laporan pada jam 2.06 petang selepas diugut individu tidak dikenali ketika berhenti di persimpangan berkenaan.
“Bertindak atas laporan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menahan seorang lelaki tempatan di Jalan Cempaka, Bukit Sentosa.
“Beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian termasuk jaket hitam, holster pistol bertulis ‘Micro’ serta surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata serta peluru turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek berusia 54 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian air kencingnya negatif.
Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
“Polis juga mengingatkan semua pengawal keselamatan yang diberikan kebenaran membawa senjata supaya mematuhi peraturan serta tidak menunjukkan senjata kepada orang awam sehingga menimbulkan ketakutan,” katanya.


