KOTA KINABALU, 19 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sejumlah 22,881 kertas undi pos kepada individu yang layak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata proses pengeluaran kertas undi pos dilakukan pada 17 dan 18 November di semua 73 bahagian DUN oleh petugas undi pos yang dilantik.
Menurutnya, jumlah itu merangkumi 21,362 kertas undi pos kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media. Selain itu, 336 kertas undi kategori 1B dikeluarkan untuk warganegara Malaysia di luar negara.
SPR turut mengeluarkan 1,183 kertas undi pos kategori 1C bagi agensi dan organisasi termasuk Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kesihatan.
“Kategori 1C juga melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pegawai Jabatan Pendaftaran Negara di UTC serta kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata proses pengeluaran undi pos disaksikan ejen undi pos yang mewakili parti-parti politik atau calon bertanding bagi menjamin ketelusan.
Khairul Shahril turut mengingatkan pengundi pos supaya menandakan kertas undi dan mengisi Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan betul, sebelum mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN masing-masing sebelum 5 petang pada hari mengundi, iaitu 29 November.
“Pengundi juga dinasihatkan menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam atau menyebarkan gambar kertas undi pos di media sosial,” katanya.
Mengikut statistik SPR, seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.




