SHAH ALAM, 19 NOV: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok, Kelantan atas pertuduhan menganiaya seekor beruk jantan pada 1 November lalu.
Tertuduh, Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24; dan Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28; yang dituduh secara berasingan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamad Amirul didakwa sengaja mendatangkan penganiayaan kepada seekor beruk jantan dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di Kampung Jembal, Bachok jam 6.30 petang pada 1 November lalu, lapor Harian Metro.
Manakala, Muhammad Khairul Aziman iaitu sepupu kepada Muhamad Amirul didakwa atas pertuduhan bersubahat atas perbuatan berkenaan di lokasi dan masa yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin.
Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh manakala Muhammad Habil memohon jaminan minima dikenakan.
Mahkamah kemudiannya setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember ini sebagai sebutan semula kes.




