Bekas ketua balai bomba Cameron Highlands didakwa terima suapan RM2,000

30 Okt 2026, 6:15 AM
Bekas ketua balai bomba Cameron Highlands didakwa terima suapan RM2,000

KUANTAN, 30 OKT: Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM2,000 pada Mei tahun lepas.

Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai itu tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Dewan Serbaguna Puncak Arabella, Cameron Highlands, pada 9.45 malam 28 Mei 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rais Adha Ramli memohon jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta tidak boleh menganggu saksi pendakwaan.

Sementara itu, peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz merayu kepada mahkamah agar jaminan tersebut dikurangkan dengan mengambil kira keadaan kewangan dan tanggungan tertuduh.

Beliau berkata tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal yang berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan perlu menyara isteri dan seorang anak serta kedua ibu-bapanya, selain terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar wang jaminan.

Sazlina membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula kes.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.