Program perantis barisan hadapan Selangor bantu atasi kekurangan jururawat

18 Nov 2025, 10:32 AM
Program perantis barisan hadapan Selangor bantu atasi kekurangan jururawat
Program perantis barisan hadapan Selangor bantu atasi kekurangan jururawat
Program perantis barisan hadapan Selangor bantu atasi kekurangan jururawat

SHAH ALAM, 18 NOV: Inisiatif Selangor memperkenal Program Selangor Frontliner Apprenticeship (SELFA) bermula tahun depan mampu mengatasi isu kekurangan jururawat terutama di hospital swasta.

Bekas Pengarah Kesihatan Selangor Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata keadaan ini berlaku memandangkan ramai pelajar kejururawatan dari institut pengajian tinggi yang memiliki ijazah memilih untuk bekerja di luar negara.

“Hospital swasta berbeza dengan kerajaan. Kalau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mereka ada pusat latihan sendiri iaitu Institut latihanan KKM. Jadi pelajar mereka hanya untuk KKM.

“Dalam masa sama banyak universiti atau pusat pengajian tawar program barisan hadapan ini tapi bila ada ijazah, mereka boleh pergi bekerja ke negara luar contohnya Singapura, Arab Saudi dan sebagainya.

“Kekurangan sumber tenaga barisan hadapan, yang ada lulusan diploma. Jadi langkah Selangor ini adalah pendekatan sangat bagus untuk pastikan negara memiliki jururawat mencukupi,” katanya kepada Media Selangor.

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, kebanyakan hospital swasta antaranya Hospital UiTM, Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Universiti Sabah amat bergantung dengan pelajar kejururawatan dalam memberi perkhidmatan terbaik.

“Hospital ini bergantung kepada penghasilan (pelajar kejururawatan) dari kolej atau universiti swasta atau awam. Selgate mengambil langkah awal untuk sediakan petugas barisan hadapan,” katanya.

Ketika membentang Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar mengumumkan SELFA dengan peruntukan RM4.74 juta bagi melahirkan tenaga kerja barisan hadapan kesihatan yang kompeten dan berdaya saing melalui pembiayaan pendidikan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari program memberi peluang kepada pelajar mengikuti kursus pengajian kritikal dalam sektor kesihatan melibatkan kursus pengajian Diploma Kejururawatan, Fisioterapi, Pengimejan Perubatan dan Teknologi Makmal Perubatan di Universiti Selangor (Unisel) dengan tempoh pengajian selama tiga tahun.