SHAH ALAM, 9 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat aduan tular mengenai dakwaan keracunan makanan membabitkan pengguna yang mengambil produk Gardenia, khususnya Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.
KKM memaklumkan pihaknya sudah mendapatkan penjelasan daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd berhubung aduan itu, selain mengambil baki produk dan bungkusannya dengan persetujuan pengadu untuk analisis makmal.
Bagaimanapun, proses pengesanan produk berdepan kekangan kerana maklumat kelompok pengilangan dan tarikh luput yang diterima tidak lengkap.
“Siasatan dalaman syarikat mendapati tiada penyimpangan dalam proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terbabit.
“Namun, dapatan itu belum boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan muktamad mengenai punca simptom yang dialami pengguna.
“KKM masih menunggu keputusan analisis makmal dan akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983,” menurut kenyataan itu.
KKM turut menegaskan tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan menemukan bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.
Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan berhubung isu berkenaan.
“Individu yang mengalami simptom seperti muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang disyaki pula diminta segera mendapatkan rawatan perubatan dan membuat laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat.” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan beberapa produk Gardenia menyebabkan pengguna mengalami simptom seperti cirit-birit dan muntah.







