SHAH ALAM, 12 NOV: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung isu dadah sintetik, termasuk desakan supaya pindaan Akta Racun 1952 dipercepatkan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata akta berkenaan di bawah bidang kuasa KKM, namun kementeriannya sedang meneliti semua undang-undang berkaitan susulan cabaran yang ditimbulkan dadah sintetik.
"Sebarang pindaan atau perkara yang dibangkitkan ini tertakluk kepada urusan KKM.
"Kita akan menyemak semua undang-undang berkaitan. Betul, walaupun ia terletak di bawah KKM, kita akan duduk berbincang dan sebagainya," katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab cadangan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) supaya perkara itu dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut.
Mohd Radzi ketika mencelah penggulungan Shamsul Anuar berkata walaupun akta berkenaan berada di bawah KKM, sebahagian besar data berkaitan isu itu dimiliki KDN.
"Sebagai penggubal undang-undang, kita juga mahu mengetahui apakah cabaran yang berkaitan dengan Akta Racun 1952 ini. Kerajaan perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam," katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, golongan terbabit dalam penyalahgunaan dadah sintetik berusia antara 15 hingga 39 tahun, malah masalah itu sudah menular kepada kumpulan lebih muda.
Beliau berkata, satu lagi trend membimbangkan ialah pembabitan golongan berpendidikan.
"Saya tidak mempunyai data terperinci di sini, tetapi ada dalam kalangan mereka yang terbabit ialah pemegang ijazah PhD (doktor falsafah).
"Ini bermakna kumpulan sasar ialah golongan muda dan pelajar. Mungkin inilah kaedah mereka untuk memanjangkan pasaran," katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi KDN membabitkan peruntukan RM21.98 bilion, termasuk RM18.02 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM3.96 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.







