SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Selangor Frontliner Apprenticeship (SELFA) dengan peruntukan RM4.74 juta bagi melahirkan tenaga kerja barisan hadapan kesihatan yang kompeten dan berdaya saing melalui pembiayaan pendidikan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut memberi peluang kepada pelajar mengikuti kursus pengajian kritikal dalam sektor kesihatan.
“Program ini melibatkan kursus pengajian Diploma Kejururawatan, Fisioterapi, Pengimejan Perubatan dan Teknologi Makmal Perubatan di Universiti Selangor (Unisel) dengan tempoh pengajian selama tiga tahun.
“Manakala, graduan juga berpeluang berkhidmat selama lima tahun di rangkaian Hospital Selgate,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) akan membangunkan fasiliti pengajian automotif bertaraf antarabangsa melalui kerjasama dengan pemain industri automotif.
Jelasnya, pembangunan tersebut bakal menjadi platform kerjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor automotif, selain dinaik taraf sebagai hab inovasi automotif masa depan.
“Kerangka kerjasama turut dibangunkan bagi menawarkan pensijilan German Dual Educational Programme bagi modul ini dengan kerjasama Malaysia-German Chamber of Commerce and Industry (MGCC),” katanya.




