ad

WBS-UKM bangunkan sijil profesional perkukuh kepimpinan wanita Selangor

18 Nov 2025, 8:15 AM
WBS-UKM bangunkan sijil profesional perkukuh kepimpinan wanita Selangor

SHAH ALAM, 18 NOV: Wanita Berdaya Selangor (WBS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata program itu bertujuan melahirkan pemimpin wanita berpengetahuan dan berwibawa seiring sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam pembuat keputusan.

"MoU ini adalah satu usaha untuk meningkatkan dan menambah lebih ramai wanita dalam program Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) dengan adanya pemberian atau penganugerahan sijil profesional.

"Sebelum ini peserta AKW perlu melanjutkan bidang pengajian masing-masing di universiti, tetapi kini AKW sendiri diberi pensijilan. Ini juga sebagai pembuka pintu untuk meneroka peluang pekerjaan atau bidang pembelajaran seterusnya," katanya selepas merasmikan Majlis MoU WBS dan UKM di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan penyampaian Biasiswa Wanita Selangor kohort 4 kepada enam penerima iaitu tiga pelajar peringkat Sarjana dan bakinya doktor falsafah (PhD).

Seramai 34 wanita menerima manfaat biasiswa itu sejak diperkenal pada 2021, dengan 13 daripadanya telah menamatkan pengajian mereka untuk kohort 1 sehingga kohort 3.

Biasiswa tersebut memberi tumpuan kepada bidang seperti pengajian gender, kepimpinan wanita, ekonomi penjagaan, sains politik/sains sosial dan pengajian pembanguna masyarakat.

Terdahulu, turut diadakan pelancaran logo baharu AKW yang menandakan fasa baharu dalam memperkukuh identiti kepimpinan wanita dengan reka bentuk menampilkan elemen keanggunan, keteguhan dan wawasan.