KOTA KINABALU, 18 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bertanding atas dasar melunaskan janji serta mengekalkan kesinambungan momentum berdasarkan rekod prestasi kerjasama kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sabah.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata pendekatan tersebut lebih penting daripada menawarkan pelbagai janji baharu kerana rakyat berhak menilai kemampuan PH melalui tindakan serta hasil kerja yang telah digerakkan.
“Penting untuk kita bercakap berdasarkan pencapaian, bukan menawarkan bulan, bintang atau cakerawala, tetapi lebih kepada concrete realisation,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Tunai Janji di Kampung Dambai, Inanam bersama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Datuk Peto Galim hari ini.
Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, berkata antara bukti prestasi PH adalah tindakan pantas membantu mangsa kebakaran di kampung berkenaan dengan menyediakan tapak kediaman baharu selain menggerakkan usaha menggazetkan Kampung Kionsom sebagai kampung tradisi.
“Langkah yang cepat, tuntas untuk menyediakan tapak kediaman yang telah hangus dan ini bukannya mudah. Saya juga hargai usaha Datuk Peto menggazetkan Kampung Kionsom.
“Ini bukan dilakukan ketika pilihan raya. Penting untuk kita melunaskan janji dan memberi peluang untuk kita bergerak ke fasa seterusnya bagi menunaikan harapan rakyat Sabah, Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah mengajak rakyat meneliti dan membandingkan pencapaian setiap parti yang pernah memerintah Sabah supaya pilihan mereka berasaskan rekod prestasi dan bukannya retorik semata-mata.
Pada PRN ke-17, Peto akan berdepan saingan 13 penjuru bagi mempertahankan DUN Inanam yang terletak dalam Parlimen Sepanggar.
Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 membabitkan 73 kerusi DUN dipertandingkan, ditetapkan pada 29 November manakala undi awal 25 November.
N18: INANAM: SABAH: 45,525
1. Sumali @ Marino Ahmad (Rumpun)
2. Gordon Lai Han Yung (PBK)
3. Shone Eric Jr. Majimbun (Bebas/IND)
4. Wong Lee Kah (lewis) @ Lewis Wong (KDM)
5. Edna Jessica Majimbun (Warisan)
6. Datuk Kenny Chua Teck Ho (STAR)
7. Datuk Wong Thien Fook (UPKO)
8. Martin Sibit (GAS)
9. Datuk Peto Galim (PH-PKR)
10. Chia Yun Kong (PR)
11. Roland Chia Ming Shen (Bebas/IND)
12. Paul Anap (PIS)
13. Joseph Linggian @ Joseph Chong (Anak Negeri)
(2020: Peto Galim: Warisan Plus - PKR: Maj: 5,638)
- BERNAMA





