SHAH ALAM, 18 NOV: Kes denggi di Selangor menunjukkan penurunan ketara sebanyak 36,001 kes atau 63.8 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga 8 November, berbanding tahun sebelumnya, kata EXCO kesihatan awam.
Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 20,399 kes direkodkan setakat ini berbanding 56,400 kes pada 2024, hasil daripada pelbagai inisiatif berterusan Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan untuk memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan denggi.

“Selangor peruntuk RM4 juta untuk aktiviti pencegahan dan kawalan denggi, jumlah ini jarang disediakan negeri lain. Daripada jumlah itu, RM2.7 juta disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelaksanaan aktiviti peringkat komuniti.
“PBT menetapkan sendiri aktiviti komuniti yang ingin dijalankan dan sebahagian peruntukan turut diberikan kepada ahli majlis supaya mereka dapat menganjurkan gotong royong dan aktiviti lain. Ini antara faktor Kejayaan Negeri mengekang isu denggi dan peruntukan ini akan diteruskan tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Salimi Azmi pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Jamaliah turut memaklumkan kes kematian akibat denggi turut menurun dengan hanya enam kematian direkodkan tahun ini berbanding 14 kes pada tempoh sama tahun lalu.
Sebelum ini, dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, memaklumkan peruntukan RM4 juta itu bertujuan memperkukuh usaha intervensi dan pencegahan denggi secara berterusan dan berkesan.
EXCO Kesihatan itu menambah, Kerajaan Negeri merangka beberapa strategi tambahan bagi mempertingkat pendekatan sedia ada, termasuk pelaksanaan pengurusan vektor bersepadu dengan menambah lokasi pelepasan nyamuk Aedes.
“Program komuniti bebas denggi akan diperluas dan diperkuat, manakala kembara kesedaran denggi akan ditambah baik dengan aktiviti lebih menarik.
Peranan penduduk juga diperkasa melalui penglibatan badan sukarelawan kesihatan seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dan Communication for Behavioral Impact (COMBI),” katanya.






