527 kes denggi, satu kematian di Kuala Langat setakat Mei, penduduk digesa perangi Aedes

3 Jun 2026, 6:00 AM
527 kes denggi, satu kematian di Kuala Langat setakat Mei, penduduk digesa perangi Aedes

SHAH ALAM, 3 JUN: Penduduk Kuala Langat digesa berganding bahu membanteras pembiakan Aedes susulan peningkatan kes demam denggi yang mencatatkan 527 kes dengan satu kematian setakat 31 Mei lalu.

Ahli Dewan Negeri Banting, Papparaidu Verman berkata orang ramai perlu meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di kawasan kediaman masing-masing.

Ahli Dewan Negeri Banting, Papparaidu Verman

"Saya juga menggesa Ahli Majlis, Ketua Kampung, Ketua Komuniti India serta pemimpin masyarakat setempat untuk terus menganjurkan program gotong-royong bersama penduduk bagi memastikan kawasan komuniti sentiasa bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Papparaidu turut berkongsi rumusan data kumulatif kes demam denggi berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.

Menurut data berkenaan, lima lokaliti wabak masih aktif dengan empat daripadanya berada dalam kategori terkawal iaitu Taman Langat Jaya, Bandar Saujana Putra 21 Blok A dan B serta Jalan Sekolah Kampung Jenjarom yang masing-masing merekodkan dua kes, manakala Taman Perindustrian Puchong mencatatkan tiga kes.

Sementara itu, Bandar Seri Ehsan melibatkan Jalan 4/25, 4/28, 4/31, 4/33 dan 4/34 merekodkan enam kes dan dikategorikan sebagai wabak tidak terkawal.

Beliau berkata usaha membendung penularan denggi memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya dalam memastikan persekitaran kediaman sentiasa bersih serta bebas daripada takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Denggi boleh dicegah jika kita bertindak bersama. Kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab kita semua," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.