SHAH ALAM, 29 APRIL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Selangor hari ini menggesa undang-undang alam sekitar diperkukuh serta hukuman diperketat bagi menangani isu pencemaran dengan lebih berkesan dalam sidang dewan di sini.
Menjawab perkara itu, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata Selangor berdepan tahap pencemaran lebih serius berikutan kepadatan penduduk yang tinggi serta aktiviti industri yang pesat, sekali gus memerlukan penguatkuasaan dan penambahbaikan peraturan yang lebih berkesan.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor masih berdepan kekangan dari segi tenaga kerja dan peruntukan, dan sebelum ini kerajaan negeri telah memohon tambahan sumber daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengukuhkan keupayaan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan alam sekitar tidak seharusnya bergantung kepada JAS semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai agensi.
“Sehubungan itu, beberapa kuasa penguatkuasaan telah diserahkan kepada agensi lain sejak 8 Julai 2025 bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar secara keseluruhan.
“Sistem sedia ada yang menyalurkan sebahagian besar hasil denda dan permit kepada Kerajaan Persekutuan juga boleh mengehadkan sumber kewangan negeri untuk mempertingkat usaha penguatkuasaan,” katanya.
Mengenai pemantauan, Jamaliah berkata sistem seperti Continuous Emissions Monitoring System (CEMS) telah digunakan bagi memantau pelepasan industri, walaupun cabaran dari segi penguatkuasaan masih wujud.
“Antara inisiatif lain ialah dasar Zero Discharge Policy (ZDP) yang mewajibkan industri mengitar semula sisa cecair dan mengelakkan pelepasan terus ke sungai, sebagai usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar dan pemantauan data,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan pihak Persekutuan serta menambah baik dasar dan mekanisme penguatkuasaan di bawah bidang kuasa negeri bagi memperkukuh tadbir urus alam sekitar secara keseluruhan.







