Kes denggi di Selangor turun 61 peratus pada 2025, usaha banteras diperhebat - EXCO

15 Jan 2026, 10:00 AM
Kes denggi di Selangor turun 61 peratus pada 2025, usaha banteras diperhebat - EXCO
Kes denggi di Selangor turun 61 peratus pada 2025, usaha banteras diperhebat - EXCO
Kes denggi di Selangor turun 61 peratus pada 2025, usaha banteras diperhebat - EXCO
Kes denggi di Selangor turun 61 peratus pada 2025, usaha banteras diperhebat - EXCO

SHAH ALAM, 15 JAN: Kes demam denggi di Selangor sepanjang 2025 terus mencatat penurunan signifikan sekali gus menunjukkan keberkesanan usaha bersepadu Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan dan komuniti.

EXCO kesihatan awam berkata sebanyak 23,565 kes denggi dilaporkan sepanjang 1 Januari 2025 hingga 3 Januari lalu iaitu penurunan 61 peratus berbanding 60,364 kes pada tempoh sama pada 2024.

Jamaliah Jamaluddin menambah, sepanjang tahun lalu juga, hanya sembilan kematian dilaporkan berbanding 16 kes pada sebelumnya.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta komuniti dalam memperkukuh kawalan dan pencegahan denggi.

“Namun, usaha ini tidak boleh dilaksanakan secara bermusim sahaja. Kerajaan Negeri komited untuk mengekalkan trend penurunan ini melalui pendekatan yang bersepadu dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan, Selangor menduduki tempat ketiga negeri yang merekodkan penurunan kes denggi tertinggi pada 2025, di belakang Perak (73 peratus) dan Perlis (70 peratus).

Namun, dengan populasi lebih 7 juta orang serta kawasan bandar yang padat, kejayaan Selangor mencerminkan keberkesanan kawalan denggi dalam komuniti berskala besar dan berisiko tinggi.

Bagi memperkasa usaha pencegahan dan kawalan denggi, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta melalui Belanjawan Selangor 2026 bagi membolehkan pelaksanaan strategi lebih menyeluruh, termasuk:

  • pengurusan vektor bersepadu

  • tambah lokasi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia

  • pengukuhan intervensi berasaskan komuniti

  • program gotong-royong di lokaliti berisiko tinggi

Jamaliah menambah, pentadbiran negeri juga akan meneruskan kempen Kembara Kesedaran Denggi dengan penambahbaikan dan penyertaan lebih ramai komuniti, selain memperkasakan peranan pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).

“Keberhasilan menurunkan kes denggi ini membuktikan keberkesanan usaha bersepadu kerajaan negeri, agensi berkaitan dan komuniti.

"Namun, semua pihak perlu terus proaktif bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri selamat dan sihat untuk semua,” tegasnya.