ad

1,000 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ

18 Nov 2025, 7:29 AM
1,000 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ
1,000 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ
1,000 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ
1,000 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ
1,000 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ

AMPANG, 18 NOV: Lebih 1,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan program Hari Tanpa Kenderaan (HTK) anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang berlangsung di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 16 November lalu.

MPAJ dalam kenyataan berkata, HTK tahun ini memberi tumpuan kepada sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia dengan acara utama Jalan Santai sejauh 3 kilometer, terbuka kepada semua peringkat umur.

Bermula seawal 7.30 pagi dan dirasmikan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Hasrolnizam Shaari, aktiviti tersebut disertai lebih 100 murid Tadika KEMAS dan Tabika Perpaduan.

"Bagi terus mengekalkan permainan tradisi dalam kalangan kanak-kanak, antara acara yang turut berlangsung ialah Eksplorasi Sukan Rakyat dan Warisan serta Sukaneka Kanak-Kanak melibatkan acara cari gula dalam tepung, bawa bola ping-pong dalam sudu.

"Turut diadakan ialah cabaran di Dapur bersama Chef Cilik dan ibu/bapa bagi penyediaan bento yang menunjukkan kreativiti para peserta selain aktiviti menanam pokok bunga, pertunjukan cosplay, taman permainan belon ‘soopa doopa’ serta edaran susu dan coklat percuma," menurut MPAJ.

Serentak dengan penganjuran HTK, Festival Makanan @ Ampang bersempena Hari Penjaja Selangor turut diadakan dari 14 hingga 16 November bagi merancakkan ekonomi usahawan mikro melalui penyertaan lebih 50 vendor makanan.

MPAJ memaklumkan HTK adalah antara inisiatif menuju Ampang Jaya Bandar Rendah Karbon, seiring usaha membentuk komuniti mampan berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).