KLANG, 16 NOV: Usaha pencegahan dan pembasmian denggi di daerah Klang menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah kes sehingga Minggu ke-45 (9 November) merekodkan 3,659 kes, hampir separuh berbanding 7,462 kes pada tempoh sama tahun lalu. Jumlah kematian kekal dua kes.
Program pencegahan itu turut disertai Ahli Dewan Negeri kawasan, YB Dr Quah Perng Fei; Ahli Majlis MBDK, Puan Ngian Yoke Mooi; serta Pengarah COB, Tuan Sr Amran Abdullah Hadi.
Pengarah Kesihatan MBDK, Encik Azmi Muji berkata penurunan ketara itu membuktikan kempen kesedaran dan aktiviti pembasmian nyamuk yang dijalankan secara berterusan bersama komuniti telah membuahkan hasil.
Menurutnya, program Lorong Belakang Bebas Aedes (LOBBA) yang memberi tumpuan kepada kerja mencantikkan dan membersihkan lorong belakang menerima sambutan baik daripada ahli majlis, persatuan penduduk dan Jawatankuasa Pengurusan Kampung.
Selain gotong-royong komuniti, Jabatan Kesihatan MBDK turut mengadakan ceramah pencegahan Aedes di sekolah dan kilang bagi memperluaskan pengetahuan berkaitan kawalan nyamuk.
MBDK menyeru penduduk meneruskan amalan pembersihan rumah seminggu sekali dan memastikan tiada takungan air bagi memutuskan rantaian pembiakan nyamuk Aedes di kawasan kediaman.






