UiTM, komuniti dan PKD berganding bahu banteras denggi di Bandar Tasik Kesuma

22 Jun 2026, 6:27 AM
UiTM, komuniti dan PKD berganding bahu banteras denggi di Bandar Tasik Kesuma
UiTM, komuniti dan PKD berganding bahu banteras denggi di Bandar Tasik Kesuma

SHAH ALAM, 22 JUN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor memperkukuh usaha pencegahan denggi menerusi Program Knowledge Transfer Programme (KTP): The Eco-Tech Ecosystem yang berlangsung di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma baru-baru ini.

Program anjuran pelajar eksekutif Pengajian Jarak Jauh (ePJJ) Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan itu bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai bahaya denggi serta menggalakkan amalan kebersihan persekitaran.

Penasihat program Profesor Dr Nazri Che Dom berkata inisiatif berkenaan membuktikan peranan universiti dalam memindahkan ilmu kepada masyarakat melalui pendekatan praktikal yang memberi manfaat secara langsung.

“Program ini bukan sekadar aktiviti gotong-royong biasa sebaliknya menjadi platform pemindahan ilmu yang menggabungkan pendidikan kesihatan, perubahan tingkah laku dan penglibatan komuniti bagi mewujudkan persekitaran bebas denggi secara mampan.

“Pendekatan ini membolehkan masyarakat memahami peranan masing-masing dalam mencegah pembiakan nyamuk Aedes selain menggalakkan amalan penjagaan kebersihan secara berterusan,” katanya.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama penduduk Pangsapuri Baiduri, Pasukan COMBI Pangsapuri Baiduri, Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat dan Unit Pendidikan Kesihatan PKD Hulu Langat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Wira Johan Abdul Aziz turut merasmikan gotong-royong mega membabitkan Blok A hingga Blok G serta melancarkan Komuniti Bebas Denggi (KomBed) di kawasan tersebut.

Sepanjang program, peserta menjalankan aktiviti gotong-royong, operasi cari dan musnah tempat pembiakan Aedes, pemeriksaan bekas takungan air serta sesi pendidikan kesihatan.

Turut diperkenalkan ialah inisiatif Eco-Tech Ecosystem yang menggabungkan pendekatan ekologi dan teknologi dalam kawalan nyamuk Aedes, termasuk penggunaan pokok pudina sebagai penghalau nyamuk semula jadi.

Pelajar UiTM juga mengadakan demonstrasi penanaman pokok pudina menggunakan bahan kitar semula dan memperkenalkan platform media sosial sebagai medium pendidikan berterusan berkaitan pencegahan denggi.

Sementara itu, Johan memuji komitmen pelajar UiTM yang bekerjasama dengan komuniti dan agensi kerajaan dalam menjayakan usaha membanteras denggi.

“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kesihatan dan komuniti setempat seperti ini perlu diperluaskan kerana mampu memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Ia juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran serta memperkukuhkan usaha membanteras denggi secara menyeluruh,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.