ad

Dua bengkel haram diserbu, premis guna warga asing diambil tindakan

17 Nov 2025, 1:29 PM
Dua bengkel haram diserbu, premis guna warga asing diambil tindakan

KLANG, 17 NOV: Dua bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan yang beroperasi tanpa lesen di Rantau Panjang diserbu dalam operasi penguatkuasaan melibatkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Dalam operasi itu, dua premis masing-masing di Jalan Haji Musran dan Jalan Teluk Kapas diarahkan tutup serta dikenakan notis penutupan kerana menjalankan aktiviti tanpa kebenaran majlis.

Sementara itu, pemeriksaan terhadap 11 premis di Taman Aman Perdana mendapati sembilan mempunyai lesen sah manakala dua lagi dikesan beroperasi tanpa lesen.

Pemeriksaan turut mendapati empat premis menggunakan khidmat warga asing di bahagian kaunter. Susulan itu, dua Notis Niat Pembatalan Lesen dikeluarkan di bawah UUK 10(1) UUK Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007, manakala dua Notis Pembatalan Lesen dikeluarkan mengikut UUK 8(1) UUK Pelesenan Establisymen Makanan MPK 2007.

Dalam operasi sama, MBDK turut mengeluarkan empat kompaun di bawah UUK 3, satu kompaun UUK 1 serta dua kompaun mengikut Seksyen 46(1)(D) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas pelbagai kesalahan.

MBDK memaklumkan penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan pematuhan syarat pelesenan dan mengelakkan aktiviti perniagaan yang menyalahi peraturan.