136 peniaga diperiksa, dua premis dikompaun di Bazar Deepavali

27 Okt 2026, 7:41 AM
136 peniaga diperiksa, dua premis dikompaun di Bazar Deepavali

SHAH ALAM, 27 OKT: Dua premis perniagaan di Bazar Deepavali Lorong Tingkat, Jalan Tengku Kelana, Klang dikenakan kompaun kerana menghalang kaki lima dan mengabaikan aspek kebersihan.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memaklumkan tindakan itu diambil menerusi operasi pemantauan dan pemeriksaan pematuhan syarat pelesenan di tapak bazar berkenaan.

Menurut MBDK, operasi dijalankan Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

"Dua kompaun dikeluarkan ke atas premis yang melakukan kesalahan halangan di kaki lima serta mengabaikan aspek kebersihan.

"Pemeriksaan dijalankan ke atas 136 peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan serta membuat persediaan di tapak bazar berkenaan," katanya menerusi Facebook.

MBDK turut memaklumkan 142 petak perniagaan disediakan bagi pelbagai aktiviti jualan sempena sambutan Deepavali.

Daripada jumlah itu, 78 petak diperuntukkan bagi jualan keperluan perayaan Deepavali manakala 20 petak untuk jualan bunga api.

Sebanyak 21 petak lagi disediakan bagi penjaja 3P, sementara 23 petak diperuntukkan untuk jualan belon dan inai.

Sehubungan itu, MBDK mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi syarat pelesenan serta peraturan yang ditetapkan sepanjang menjalankan aktiviti perniagaan.

"Peniaga diingatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran dan tidak menimbulkan halangan demi keselesaan serta keselamatan pengunjung," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.