ad

Rumah terbuka Deepavali DUN Seri Setia meriah, simbol perpaduan kaum

17 Nov 2025, 12:54 AM
Rumah terbuka Deepavali DUN Seri Setia meriah, simbol perpaduan kaum
Rumah terbuka Deepavali DUN Seri Setia meriah, simbol perpaduan kaum
Rumah terbuka Deepavali DUN Seri Setia meriah, simbol perpaduan kaum

SHAH ALAM, 17 NOV: Majlis Rumah Terbuka Deepavali Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Dewan Bunga Kertas malam tadi disambut meriah dengan kehadiran lebih 500 penduduk pelbagai kaum, sekali gus menzahirkan keharmonian dan semangat perpaduan.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sambutan hangat itu mencerminkan kekuatan Selangor sebagai negeri yang meraikan kepelbagaian budaya dengan penuh rasa hormat.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Dewan Bunga Kertas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 16 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

"Sambutan mesra masyarakat pelbagai kaum sempena perayaan Deepavali ini mencerminkan nilai kebersamaan yang terus dipupuk di DUN Seri Setia. Saya mensasarkan 350 tetamu akan hadir namun sambutannya di luar jangkaan.

"Hari ini kita lihat masyarakat berbilang bangsa hadir bersama. Melayu ada, Cina ada, India ada. Inilah semangat kebersamaan yang kita mahu kekalkan," katanya.

Beliau turut menjangkakan kehadiran lebih ramai pada program seterusnya di Desa Mentari, Petaling Jaya pada 22 November, yang dijangka menghimpunkan sehingga 1,000 tetamu.

Dr. Fahmi juga menzahirkan penghargaan kepada penduduk yang sentiasa memberi sokongan padu kepada penganjuran program perpaduan di kawasan tersebut.

"Walaupun saya EXCO Agama Islam, saya diraikan dengan penuh mesra oleh komuniti India di sini. Inilah kekuatan kita sebagai kerajaan yang mendukung perpaduan.

"Kita jaga semua bangsa dan semua kaum untuk memastikan negeri Selangor terus makmur dan harmoni," katanya.

Selain jamuan, majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan cabutan bertuah sebagai menghargai sokongan masyarakat setempat.