Seri Setia catat rekod tertinggi pembasmian kemiskinan daerah Petaling

14 Jun 2026, 12:00 PM
Seri Setia catat rekod tertinggi pembasmian kemiskinan daerah Petaling
Seri Setia catat rekod tertinggi pembasmian kemiskinan daerah Petaling
Seri Setia catat rekod tertinggi pembasmian kemiskinan daerah Petaling

SHAH ALAM, 14 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mencatat pencapaian terbaik di daerah Petaling dalam usaha membasmi kemiskinan apabila 1,661 isi rumah berjaya keluar daripada kategori miskin dan miskin tegar setakat 31 Mei lalu.

Wakil rakyatnya, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kejayaan itu turut menyaksikan kawasan berkenaan mencapai sifar miskin tegar, manakala hanya 338 isi rumah masih berada dalam kategori miskin dengan berpendapatan kurang RM2,830 sebulan.

"DUN Seri Setia berjaya mencatatkan angka tertinggi dalam mengeluarkan isi rumah daripada kategori miskin dan miskin tegar iaitu sebanyak 1,661 isi rumah.

"Miskin tegar telah sifar di DUN Seri Setia dan hanya tinggal 338 isi rumah yang masih berada dalam kategori miskin," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Petaling, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Pusat Khidmat DUN Seri Setia yang sentiasa aktif mengenal pasti serta membantu golongan memerlukan.

"Saya mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat kerana usaha turun padang secara aktif untuk mencari golongan memerlukan telah membuahkan hasil," katanya.

Mohammad Fahmi berkata antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan tersebut ialah pelaksanaan Pusat Khidmat Bergerak DUN Seri Setia yang diadakan setiap Sabtu di seluruh daerah mengundi dalam kawasan DUN berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada Media Selangor selepas program Generatif AI 2026 di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), Shah Alam pada 13 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Salah satu faktor yang mendorong kepada kejayaan ini ialah kita mengadakan Pusat Khidmat Bergerak. Kita turun ke setiap daerah mengundi pada setiap Sabtu untuk bertemu rakyat dan mencari sendiri mereka yang memerlukan bantuan.

"Usaha turun padang secara aktif ini membuahkan hasil apabila lebih ramai penduduk yang layak dapat dikenal pasti dan menerima bantuan sewajarnya," jelasnya.

Beliau berkata pihaknya turut membantu penduduk yang layak menerima bantuan kebajikan atau zakat tetapi tidak mengetahui saluran yang tersedia untuk memohon bantuan tersebut.

"Ada yang sebenarnya layak menerima bantuan tetapi tidak mengetahui saluran yang tersedia. Kita bantu mereka mendapatkan bantuan yang sepatutnya diterima.

"Dalam beberapa keadaan, kita juga menyediakan bantuan sekali beri yang dapat membantu mereka menampung keperluan sementara mendapatkan pekerjaan atau sumber pendapatan yang lebih baik," ujarnya.

Tambah beliau, usaha meningkatkan taraf hidup rakyat perlu diteruskan walaupun mereka telah berjaya keluar daripada kategori miskin bagi memastikan kedudukan ekonomi keluarga terus bertambah baik.

"Kita berharap mereka yang berjaya keluar daripada kemiskinan dapat terus meningkatkan taraf hidup dan bergerak ke tahap ekonomi yang lebih baik.

"Seri Setia juga bertuah kerana mempunyai ramai individu dan komuniti yang prihatin serta sentiasa membantu golongan memerlukan," katanya.

Menurutnya, kejayaan di Seri Setia membuktikan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi zakat dan komuniti setempat mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat, malah pendekatan sama boleh diperluaskan ke kawasan lain di Selangor.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.