KLANG, 16 NOV: Lebih 280 peserta dari dalam dan luar negara menyertai acara kecergasan The Underground Games (TugRace) yang diadakan di GM Klang, di sini hari ini.
Program anjuran K Fitness dengan kerjasama MMX Nutrition Pro dan GM Klang itu diadakan dari jam 7 pagi hingga 5 petang, bertujuan memupuk budaya hidup sihat melalui aktiviti kecergasan berasaskan latihan fungsi (functional training).
Berbeza dengan latihan normal gimnasium, Pengarah Gimnasium K Fitness Lee Ho Kiat berkata latihan fungsi memberi tumpuan kepada pergerakan semula jadi tubuh yang bukan sekadar membina otot tetapi meningkatkan kekuatan, kestabilan, koordinasi dan ketahanan secara menyeluruh.

“Di Malaysia tidak banyak program seperti ini. Ramai yang minat dengan latihan fungsi hingga sanggup ke luar negara untuk sertai acara ini. Jadi, kami di K Fitness ambil inisiatif menganjurkannya julung kali bersama rakan strategik.
“Kami memilih GM Klang kerana kawasannya yang besar dan strategik. Sambutan sangat menggalakkan bukan sahaja peserta tempatan, malah penyertaan turut diterima dari Singapura, Hong Kong dan Brunei,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah K Fitness Kenny Siew Kok Wah berkata acara tersebut merangkumi 13 jenis latihan membabitkan lima kategori lelaki dan wanita dengan jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM10,000.

Melihat kepada perkembangan dan sambutan positif, Kenny berkata pihaknya menyasar untuk menganjurkan lagi acara itu dengan penglibatan sekurang-kurangnya 1,000 peserta pada April tahun depan di lokasi sama.
“Kita bercadang menjadikan TugRace ini sebagai acara tahunan dan sebagai platform menarik lebih ramai komuniti kecergasan ini berkumpul dan sihat bersama.
“Dengan sokongan padu yang diterima, kita optimis acara akan berkembang lebih besar. Untuk maklumat lanjut boleh layari platform media sosial seperti Instagram kami iaitu kfitness_klang atau GM Klang,” jelas Kenny.









