KOTA KINABALU, 15 NOV: Sebanyak 596 calon disahkan bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata daripada jumlah itu, calon Bebas adalah paling ramai iaitu 74 orang diikuti Parti Warisan (Warisan) sebanyak 73, Parti Impian Sabah (PIS) (72), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (55), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (46), Barisan Nasional (BN) (45), Perikatan Nasional (PN) (42), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (40), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (25) dan Pakatan Harapan (PH) 22 orang.
Turut bertanding ialah Parti Kebangsaan Sabah (PKS)(20), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri)(17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (16), Parti Bumi Kenyalang (PBK)(14), Parti Rumpun Sabah (Rumpun) (tujuh), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam), Parti Damai Sabah (SPP) (lima), Perjuangan Rakyat (PR) (enam), Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga) Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (tiga) manakala Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) masing-masing satu calon.
"Tiada pencalonan yang ditolak," katanya pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon PRN ke-17 di sini hari ini.
Pada PRN ke-16 pada 2020, sebanyak 447 calon bertanding.
Ramlan berkata daripada jumlah calon bertanding, 525 adalah lelaki manakala 71 lagi wanita.
Calon tertua adalah di DUN Bingkor iaitu Uling @ Thomas Anggan, 86, daripada PKS manakala calon paling muda Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin, 24, juga daripada PKS.
DUN Tulid yang kali pertama dipertandingkan pada PRN lepas, katanya menyaksikan pertembungan paling ramai kali ini dengan 14 calon diikuti Bandau, Tamparuli, Inanam serta Kapayan masing-masing 13 calon.
Dua DUN iaitu Banggi dan Moyong merekodkan 12 penjuru manakala di Bengkoka, Tanjong Kapor, Pintasan, Karambunai, Tanjung Keramat dan Balung menyaksikan pertembungan 11 penjuru.
"10 DUN merekodkan sembilan penjuru, lapan DUN menyaksikan lapan penjuru, 10 DUN (tujuh), 13 DUN (enam), lapan DUN (lima) dan dua lagi DUN empat penjuru," katanya.
Beliau berkata SPR telah menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen yang bermula hari ini hingga 11.59 malam, 28 Nov.
SPR menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.




