SHAH ALAM, 15 NOV: Hampir separuh daripada 37 karya seni yang dipamerkan di Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan 2025 menemui pembeli, sekali gus menyumbang kepada Tabung Harapan bagi membantu ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan.
Pengarah Komunikasi dan Tadbir Nadi Seni Resources Shareena Shahridan berkata sambutan terhadap pameran itu amat memberangsangkan meskipun kali pertama dianjurkan di Galeri Shah Alam.

“Alhamdulillah, walaupun ini kali pertama kita menganjurkan program di sini dengan kerjasama Galeri Shah Alam, sambutannya amat baik dan kehadiran juga sangat memberangsangkan.
“Mungkin dengan adanya inisiatif program ‘gallery hopping’ selepas ini, pameran seumpama ini dapat berlangsung dengan lebih meriah dan berskala lebih besar,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut memaklumkan harga karya yang dipamerkan bermula sekitar RM3,000 sehingga RM26,000, menawarkan peluang bagi pengunjung memiliki karya seni tempatan berkualiti.

Pameran yang bermula sejak 3 November dan berakhir 16 November itu dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 6 petang, menampilkan pelbagai tarikan termasuk Pameran Rupa dengan karya pelukis terkenal Amron Omar dari koleksi Pakha Sulaiman.
Selain pameran, Bazar Seni Amal Harapan yang diadakan pada 7 hingga 9 November dan 14 hingga 16 November menawarkan hasil seni dan kraf tempatan, aksesori, fesyen serta aneka juadah makanan dan minuman termasuk manisan dan kopi.

Semalam, dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menggiatkan industri seni melalui pelbagai program dinamik termasuk ‘gallery hopping’ dan pameran bertema sepanjang 2026.






