Rumah dimakan anai-anai, ibu tunggal terima kediaman baharu RM85,000

29 Okt 2026, 2:34 AM
Rumah dimakan anai-anai, ibu tunggal terima kediaman baharu RM85,000
Rumah dimakan anai-anai, ibu tunggal terima kediaman baharu RM85,000
Rumah dimakan anai-anai, ibu tunggal terima kediaman baharu RM85,000

HULU SELANGOR, 29 OKT: Seorang ibu tunggal di Kampung Napi, Rasa, di sini menerima bantuan rumah baharu bernilai RM85,000 daripada Kerajaan Negeri selepas bertahun-tahun tinggal di kediaman uzur yang rosak akibat serangan anai-anai.

Norazizah Muhammad, 54, berkata keadaan rumah lamanya yang semakin rosak menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga, namun kekangan kewangan menyebabkan beliau tidak mampu membaiki atau membina kediaman baharu.

Menurutnya, kesukaran itu turut ditambah dengan ketiadaan laluan masuk yang sesuai sehingga terpaksa menggunakan jalan milik jiran, malah pernah terjatuh ketika menunggang motosikal.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat dapat rumah baharu. Saya ingatkan hanya dapat bantuan untuk membaiki rumah, tetapi akhirnya dapat rumah baharu yang cantik dan selesa. Jalan pun sudah ada, memang banyak memudahkan kehidupan saya.

“Dah umur saya 54 tahun, baru sekarang saya dapat merasai nikmat macam ini. Terima kasih kepada kerajaan, tok penghulu dan semua pihak yang membantu saya,” katanya.

Norazizah menerima kediaman baharu yang dilengkapi tiga bilik dan kemudahan asas menerusi program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin Selangor.

Beliau turut mendapat manfaat pembinaan jalan berhampiran kediamannya melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sekali gus memudahkan pergerakan serta urusan harian keluarganya.

Norazizah yang menetap di kampung berkenaan sejak lahir kini memberi tumpuan menjaga ibunya selepas berhenti kerja, manakala anak tunggalnya, Aziz, 26, bekerja sebagai penghantar makanan sementara mencari pekerjaan tetap.

Beliau berharap kediaman baharu itu dapat memberikan kehidupan yang lebih selamat dan selesa kepada keluarganya.

Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin Selangor yang diperkenalkan sejak 2008 bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah, miskin dan penghuni rumah daif mendapatkan kediaman lebih selamat serta selesa.

Sejak diperkenalkan, peruntukan dan had siling bantuan program berkenaan dinaikkan secara berperingkat bagi menampung peningkatan kos bahan binaan semasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.