SHAH ALAM, 15 NOV: Belanjawan Selangor 2026 mendapat reaksi positif wakil rakyat di negeri itu yang memuji pendekatan seimbang, berpaksikan rakyat serta menekankan pembangunan berterusan dan kesejahteraan masyarakat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata beliau gembira dengan fokus Kerajaan Negeri terhadap pembangunan infrastruktur di Klang, terutamanya usaha menaik taraf jalan raya dan penyelenggaraan sungai bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

“Sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang, fokus utama yang saya nantikan dalam Belanjawan Negeri ialah pembangunan infrastruktur, terutama menaik taraf jalan raya di daerah Klang yang merupakan pusat pertumbuhan ekonomi penting negeri.
“Peningkatan dan penyelenggaraan infrastruktur sedia ada amat kritikal untuk memenuhi keperluan penduduk setempat,” katanya kepada Media Selangor.
Azmizam turut menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu perubahan iklim yang menyebabkan hujan tidak menentu dan kejadian banjir kilat.
“Pengumuman peruntukan bagi kerja mendalamkan sungai-sungai di Klang juga merupakan berita gembira buat penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan persisiran pantai dan sungai,” ujarnya.
Sementara itu, ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron turut menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan, terutama subsidi 50 peratus untuk pelajar institusi di bawah Kerajaan Negeri seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik, di mana aspek pendidikan diberikan tumpuan besar dalam Belanjawan 2026,” katanya.
Beliau juga menekankan peningkatan peruntukan pembangunan negeri daripada RM1.3 bilion kepada RM1.37 bilion yang menurutnya mencerminkan fokus jelas terhadap pembangunan jangka panjang melibatkan infrastruktur dan pendidikan.
“Belanjawan kali ini jelas memperlihatkan komitmen Selangor dalam mengiktiraf dan memperkukuh sektor pembangunan sebagai asas kemajuan negeri,” ujarnya.
Pada Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri turut mengumumkan seramai 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UIS dan Unisel untuk kemasukan September 2026 akan menerima subsidi 50 peratus yuran pengajian.




