SHAH ALAM, 17 NOV: Peruntukan lebih RM3 bilion dalam Belanjawan Selangor 2026 menunjukkan keyakinan dan keberanian pentadbiran negeri untuk merancakkan pelaburan serta meneroka sektor baharu berpotensi tinggi.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata anggaran perbelanjaan tersebut membuktikan Selangor berada pada landasan kukuh dan mampu mengekalkan keyakinan pelabur melalui disiplin kewangan yang bertanggungjawab.
“Kekuatan kewangan Selangor bukan sahaja dinilai melalui pencapaian kutipan hasil, tetapi juga menerusi keupayaan mengekalkan kestabilan kewangan secara berterusan.
“Kepimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari berada pada landasan tepat dan kukuh serta berjaya mengekalkan keyakinan pelabur serta mengurus sumber negeri dengan penuh integriti dan cekap,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata kepesatan sektor perindustrian, logistik dan perdagangan perlu diteruskan untuk memastikan Selangor kekal sebagai negeri termaju dan berdaya tahan.

Jelasnya, perkembangan sektor strategik itu menjadi petunjuk penting kepada kemampuan negeri mengekalkan pertumbuhan hasil yang stabil dan mampan setiap tahun, sekali gus mempersiapkan Selangor menghadapi cabaran ekonomi global.
“Tatakelola kewangan yang telus dan pengurusan yang cekap perlu terus menjadi asas kestabilan kewangan negeri. Saya juga berharap negeri kekal disiplin dalam mengurus hasil dan perbelanjaan kewangan.
"Selain itu, Selangor perlu membuktikan pentadbiran penuh tanggungjawab, berintegriti dan sentiasa berpandangan jauh ke hadapan,” katanya.
Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.23 bilion, merangkumi RM1.86 bilion (57.6%) bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion (42.4%) bagi pembangunan.
Dato’ Menteri Besar turut mengunjurkan kutipan hasil negeri berjumlah RM2.8 bilion, dengan premium tanah (RM1.02 bilion) menjadi penyumbang utama.
Sumber hasil kedua terbesar ialah cukai tanah sebanyak RM691.27 juta, diikuti pemberian Kerajaan Persekutuan sebanyak RM263.16 juta.





