ad

Projek LRA Rasau Peringkat 2 jamin rizab air Selangor lebih stabil

15 Nov 2025, 4:01 AM
Projek LRA Rasau Peringkat 2 jamin rizab air Selangor lebih stabil

SHAH ALAM, 15 NOV: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Rasau Peringkat 2 dijangka mampu menjamin rizab simpanan air sebanyak 20 peratus untuk penduduk Selangor, kata EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim.

Beliau berkata projek mega itu akan bermula tahun depan dan bakal menambah kapasiti baharu sehingga 700 juta liter sehari (MLD), sekali gus menjadi pemangkin utama kestabilan bekalan air negeri.

“Kita buat berperingkat mengikut keperluan. Kalau kita buat banyak pun tidak guna. Keperluan air ini meningkat setiap tahun 300 hingga 400 MLD sehari.

“Jadi kita rancang supaya ia dapat memenuhi keperluan air negeri, sekali gus dengan rizab air sekali. Kalau boleh kita mahu capai rizab sebanyak 20 peratus,” katanya kepada Media Selangor.

Izham berkata, sebelum ini Selangor berdepan kekurangan margin air terutamanya apabila berlaku insiden loji henti tugas atau paip pecah sehingga menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas Belanjawan Negeri Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Dua tiga tahun lepas, margin kita sangat rendah. Kalau ada masalah paip pecah atau loji henti tugas, kita tidak cukup air dan tidak boleh tampung. Jadi perlu ada margin dan rizab air 20 peratus itu berpatutan,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan LRA Rasau Peringkat 2 bernilai RM2.6 bilion yang dijadual bermula tahun depan hingga 2028.

Projek tersebut sebahagian daripada Skim Bekalan Air Rasau, turut dijangka membekalkan air kepada 467,000 akaun pengguna di wilayah Petaling dan Kuala Langat menjelang 2031.